Anwar keluar dari kedutaan Turki
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim beredar dari rumah rasmi duta Turki di Kuala Lumpur, tempat beliau berlindung sejak pagi Ahad lalu, dan menuju ke rumahnya.Anwar berjalan keluar dari rumah itu, yang terletak tidak jauh dari bangunan kedutaan, dan memasuki kenderaan kira-kira jam 6.45 petang ini. Bekas timbalan perdana menteri itu kemudian bercakap ringkas kepada kumpulan kira-kira 50 wartawan di luar pagar rumah rasmi tersebut (foto).Beliau berkata jaminan keselamatan yang diberikan oleh menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dan menteri luar Datuk Seri Dr Rais Yatim mendorong beliau meninggalkan rumah duta berkenaan. Anwar menambah, dakwaan liwat terhadapnya susulan rancangannya untuk mengumumkan akan bertanding pilihanraya kecil, minggu ini. Katanya, beliau juga akan mengumumkan penyertaan empat ahli parlimen komponen BN, termasuk dua dari Umno, bersama pembangkang minggu ini.
Sebelum itu seorang peguamnya Sankara Nair tiba di kedutaan tersebut jam 6.15 petang. Manakala isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga presiden PKR tiba kira-kira jam 6.40 tadi dan naib presidennya Azmin Ali sampai lima minit sebelumnya. Bercakap ringkas kepada media, Azmin berkata pihaknya berpuas hati dengan jaminan keselamatan kerajaan.Malaysiakini difahamkan beliau pulang ke rumahnya di Bukit Segambut sebelum mengadakan sidang akhbar jam 9 malam di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya. Sementara itu, penyokong Anwar juga diminta berkumpul di tempat yang sama malam ini untuk mendengar amanat pemimpin tersebut.Kira-kira 250 penyokong Anwar dan wartawan menunggu-nunggu sidang media. Bagaimanapun menurut timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali, ia telah dibatalkan.
Para penyokong Anwar yang mengharapkan maklumat daripada mulutnya sendiri perlahan-lahan beredar dari depan pejabat itu dengan berat hati. Risalah sehelai yang memuatkan berita terkini Malaysiakini dan Malaysia Today tentang perkembangan kes Anwar diedarkan sehingga para penyokong berebut-rebut mendapatkannya.Teriakan "reformasi" dan takbir kedengaran selepas pengumuman pembatalan itu bagi kali kedua oleh timbalan setiausaha agung Johnson Chong menjelang 10 malam.Menurutnya, jika ada sidang media, ia akan dimaklumkan esok. Bagaimanapun lebih kurang 150 penyokong masih enggan beredar sehinggalah pengumuman rasmi dibuat oleh ibu pejabat parti. Anwar dimaklumkan sedang berbincang dengan kumpulan peguamnya malam di suatu tempat yang tidak dinyatakan.
No comments:
Post a Comment