Tuesday, May 27, 2008

HATI atau AKAL...




Setiap manusia dikurniakan dengan akal fikiran dan hati. Ini yang membezakan antara manusia dengan selainnya. Apa guna akal jika tidak dapat digunakan dengan betul, dan apa guna hati jika perasaan yang buruk sentiasa ada di dalamnya. Hatta pelajar universiti pun kadang-kala tidak menggunakan akal yang dikurniakan dengan betul. Masalah sosial yang semakin menjadi-jadi sekarang juga boleh dikatakan dengan kecetekan pemikiran dalam menggunakan akal untuk berfikir.



Adakah pelajar IPTA berbangga dengan status sebagai mahasiswa atau mahasiswi dengan hanya kerana dapat menjejakkan kaki ke IPT? Apakah tahap keilmuan seseorang itu diukur dengan hanya kerana dapat menjejakkan kaki ke IPT. Banyak persoalan yang boleh ditimbulkan kerana sekarang, jika dilihat, kualiti pelajar IPT sama sahaja seperti yang tidak memasuki IPT. Baik dari segi pakaian, sosial, percakapan atau sebagainya. Kenapa semua ini harus terjadi?



Semua ini tidak akan terjadi jika kita semua melakukan semua yang diperintahkan oleh Allah dan hidup dengan mengikut garis panduan yang ditulis dalam al-Quran. Jika dilihat dari pandangan mata, banyak perbezaan dapat dilihat antara orang yang taat kepada perintah Allah dengan orang yang lalai dalam menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim.

Mahasiswa kini adalah mahasiswa yang boleh dikatakan lesu dan mempunyai minda belajar untuk mendapat sijil. Bagi mereka sekeping sijil yang diperolehi itu lebih bernilai dari pengalaman dan ilmu yang sepatutnya mereka kuasai di IPT. Dan terdapat juga segelintir mahasiswa yang begitu obses kononnya pemikiran mereka adalah baik, apa yang mereka lakukan bersama kumpulan mereka adalah betul, mengatakan orang lain salah, orang lain tidak betul. Adakah itu tujuan mereka menimba ilmu? Adakah perlu mengikuti sesuatu dengan begitu taat sehingga mengabaikan pelajaran. Dilihat ada yang sanggup meninggalkan kuliah, ada yang sanggup tidak menghadiri peperiksaan semata-mata kerana mengikuti program yang dikatakan sangat penting. Adakah ini ikutan yang baik.

Tidak dinafikan ilmu agama penting dalam kehidupan, tetapi kesederhanaan itu adalah sebaiknya. Pernahkah kita memikirkan harapan ayah dan ibu kita yang selama ini banyak berkorban segalanya, tetapi kita di IPT tidak menghargainya. Mengenepikan keluarga kerana kononnya ada yang lebih penting. Pernahkah difikirkan siapa yang menyara, memberi duit belanja, yang melahirkan dan menjaga kita dari sekecil tapak tangan sehingga masuk ke IPT? Adakah rakan-rakan kita yang berada di IPT yang membuat semua itu. Kadang-kala semua ini tidak dipedulilkan kerana beranggapan diri sudah besar, pandai, tahu menjaga diri. Adakah ini yang disebut sebagai mahasiswa yang berjaya....






No comments: